GURU UTAMA SILAT CEKAK HANAFI
BIODATA ENCIK MARWI BIN LATIF
Encik Marwi bin Latif merupakan seorang tokoh lama yang disegani dalam
Silat Cekak. Dilahirkan pada 28 Disember 1946 di Kampung Baru Kuala Lumpur. Anak ke-4 dari 12 adik beradik ini, mendapat pendidikan di Sekolah
Inggeris Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 1960an.
Setahun selepas menamatkan pelajaran silat iaitu pada tahun 1973, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar bagi kelas latihan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana kedua-duanya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada waktu itu. Kelas lain yang beliau turut ajar adalah kelas Universiti Teknologi Malaysia Jalan Gurney, Kuala Lumpur dan di ITM , Jln Othman Petaling Jaya.
Tahun 1976 merupakan bermula era beliau bergerak di negeri Pahang. Beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuantan Pahang atas permintaan Ustaz Hanafi bagi meneruskan perkembangan Silat Cekak di sana. Penghijrahan beliau disebabkan berlaku kekosongan apabila saudara Malino Junsi yang sebelum itu bertugas di Kuantan telah meninggal dunia. Oleh itu, semenjak tahun 1976 hingga sekarang, beliau menjadi wakil rasmi persatuan bagi mengembangkan Silat Cekak di bumi Pahang
Di negeri Pahang juga beliau bertemu jodoh dengan Puan Jumilah Bt Omar. Hasil perkongsian hidup tersebut, beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata, 2 lelaki dan 2 perempuan. Anak beliau yang
sulong sekarang ini berusia 19 tahun manakala yang bongsu berusia 8 tahun
Tempoh selama 31 tahun menyumbang bakti di bumi Pahang, telah
menjadikan beliau seolah-olah seperti anak jati negeri Pahang. Oleh itu tidak
hairanlah apabila nama beliau menjadi amat sinonim dengan Silat Cekak negeri
Pahang dan di kalangan rakan senibela diri yang lain di negeri itu. Atas
ketokohan dan pengalaman beliau juga, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis
Seni Beladiri Pahang yang bernaung di
bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang sejak tahun 2005. Dan sebagai menghargai sumbangan yang berterusan
terhadap kemajuan Seni Bela Diri di negeri Pahang, beliau telah dianugerahkan Anugerah
Tertinggi Majlis Seni Beladiri Pahang iaitu Anugerah Penggerak pada bulan April 2006.
Sepanjang penglibatan beliau dengan Silat Cekak, beliau juga pernah
mewakili Malaysia dalam acara Silat pada temasya Sukan SEA (SEA Games) ke-10 di
Jakarta, Indonesia pada tahun 1979.
Apabila Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditubuhkan pada
tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT)
dan Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) persatuan ini. Di peringkat
negeri, beliau memegang jawatan Yang DiPertua Negeri Pahang dan juga Penyelia
Persilatan bagi negeri Pahang sejak 1994 hingga 2005.
www.cekakhanafi.com