PENJELASAN MENGENAI ISU MMK MENOLAK KEPUTUSAN MMT BERHUBUNG KEDUDUKAN GURU UTAMA

Mesyuarat MMK pada 17 September 2006 telah menerima resolusi untuk menolak keputusan MMT yang bersidang pada 3 September 2006 yang telah membuat keputusan untuk mengekalkan En Md Radhi Hj Hanafi sebagai Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.

MMK berpendapat Pengerusi mesyuarat MMT iaitu sdr Jamaluddin Hj Hanafi telah gagal menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Pengerusi mesyuarat. Ini menyebabkan keputusan yang dibuat tidak menurut prosedur dan mengandungi unsur – unsur berat sebelah.

Keputusan MMK untuk menolak keputusan MMT ini dibuat berdasarkan perkara-perkara berikut :-

1. Keputusan MMT yang dibuat secara undi terbuka adalah melanggar Peraturan 21 Ceraian 8 Perlembagaan yang termaktub seperti berikut :-

Keputusan Majlis sebaik-baiknya dibuat secara sebulat suara, tetapi sekiranya ada keputusan yang perlu diundi maka pengundian SECARA SULIT perlu dibuat. Di dalam pengundian, keputusan MMT adalah berdasarkan kepada undi majoriti dan Pengerusi mempunyai undi pemutus sekiranya pengundian itu sama.

Oleh kerana pengundian telah dibuat secara terbuka, ini bermakna keputusan tersebut adalah tidak sah kerana telah melanggar peraturan seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persatuan.

2. Ahli MMT telah tidak mendapat maklumat yang jelas tentang isu yang dibincangkan. Ini kerana Pengerusi mesyuarat tidak membenarkan Laporan Jawatankuasa Penyiasatan dan Kehakiman dibentang sebelum pengundian dibuat.

Oleh yang demikian, MMK berpendapat mesyuarat MMT adalah tidak telus dan terdapat unsur-unsur berat sebelah. Selanjutnya, MMK berpendapat Laporan Jawatankuasa Penyiasatan dan Kehakiman sepatutnya dibentangkan sebelum pengundian dibuat bagi membolehkan semua Ahli MMT faham dan jelas tentang isu yang dibincangkan. Lebih-lebih lagi keputusan yang akan dibuat merupakan satu keputusan yang teramat penting.

3. Oleh kerana kes ini melibatkan En Md Radhi secara peribadi, maka adalah tidak wajar beliau sendiri turut mengundi semasa pengundian dijalankan. MMK berpendapat En Md Radhi sepatutnya tidak dibenarkan mengundi kerana beliau adalah orang yang dituduh.

Sekian.

 

muka hadapan

 
 
nbsp;